18 August 2018

Kabar Aceh Untuk Dunia


Seminggu di Istanbul Kumpul Tenaga

...

  • portalsatu.com
  • 04 February 2018 12:30 WIB

Barisan kedai kopi terkenal di lantai bawah Jembatan Galata, Istanbul, 26 Oktober 2016. @THAYEB LOH ANGEN/PORTALSATU.COM DOC.
Barisan kedai kopi terkenal di lantai bawah Jembatan Galata, Istanbul, 26 Oktober 2016. @THAYEB LOH ANGEN/PORTALSATU.COM DOC.

"KETIKA ini saya berada di Istanbul, Turki, untuk berehat bagi mengembalikan tenaga selepas berkayuh hampir sebulan bermula di Tehran, pertengahan September lalu," kata Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi, dalam misi kayuhan solo lapan negara Balkan tahun lalu.

Katanya, beliau sebelum ini berkayuh hampir dua minggu untuk sampai ke Istanbul iaitu bandaraya dua benua Asia-Eropa yang dipisahkan oleh Selat Bosphorus.

Bagi mereka yang pernah ke Istanbul, katanya, lawatan tidak akan lengkap jika pelancong tidak singgah di Besiktas kerana ia bukan sahaja menempatkan beberapa pusat beli-belah terkenal seperti Metrocity Shopping Centre, sebaliknya ia menyimpan sejarah tamadun Islam era Usmani (Ottoman).

"Pelancong pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjungi Istanbul Naval Museum (Turkish-Istanbul Deniz Müzesi) di mana dipamerkan persenjataan zaman khalifah Islam hingga moden, deretan meriam gergasi dan perkapalan.

"Bagi pelancong ke Istanbul, menjadi kemestian menaiki 'cruise' untuk menyusuri Selat Bosphoros bagi melihat pemandangan indah kota raya yang dilimpahi cahaya neon pada sebelah malam. Seorang dikenakan caj RM168 (AS$40) untuk tempoh tiga jam setengah.

"Di tingkat satu penumpang akan disajikan pelbagai juadah yang enak, ke tingkat atas kita boleh menonton tarian tradisional Turki - gelek dan 'belly dance' selama dua jam. Malah, tetamu juga diajak menari bersama," katanya.

Tempat menarik lain di Istanbul ialah Taman Ozdilek, Taman Yildiz, Menara Jam Dolmabahce, Istana Dolmabahce, Istana Beylerbeyi, Istanbul Sapphire, Bomonti Ada dan banyak lagi.

Penjelajahan Hasan, 63, kali ini membabitkan Iran, Turki, Bulgaria, Serbia, Bosnia, Croatia, Slovenia dan Itali.

Iran sejauh 835 kilometer (km) sudah dijelajahi dalam tempoh 10 hari, sebelum menyambung kayuhan ke Turki dengan bermula di Dogubiyazit.

Ketika berkayuh di Tehran, beliau sempat melihat penduduk bandaraya itu meraikan Hari Asyura, yang agak berlainan di Malaysia.

Berkayuh di bawah terik matahari, berhujan, di bawah suhu sejuk sehingga 10 darjah Celsius dan laluan mendaki bergunung-ganang sejauh lima hingga 10 km adalah antara cabaran dihadapinya untuk sampai ke Istanbul.

Begitu juga tidur di bawah jambatan, hentian rehat dan rawat (R&R) serta pondok penjual buah-buahan di tepi jalan, antara pengalaman yang dihadapi Hasan sepanjang berkayuh secara solo.

Malah, paling mencabar baginya ialah apabila beliau ditahan pihak Imigresen Turki di Maku (pintu sempadan Iran-Turki) bagi siasatan identitinya yang disangka seorang pengganas.

Namun, pemandangan menarik di Iran dan Turki memberikan kepuasan kepada Hasan. Keletihan mengayuh sejauh 80 hingga 100 km setiap hari seperti tidak terasa.

"Pemandangan indah di Iran ialah melihat Gunung Ararat yang dikatakan terdamparnya bahtera Nabi Nuh AS. Untuk sampai ke sana jauhnya beratus km, saya hanya melihat dan sekadar merakam fotonya.

"Di Turki pula, saya melalui jalan kampung dan menemui ramai petani, antaranya penanam labu gergasi, kubis gergasi, bunga matahari, ubi kentang dan bawang besar.

"Menariknya, setiap kali berbual dengan mereka ada saja buah tangan yang diberikan sebagai bekalan di dalam perjalanan. Hinggakan ada yang terpaksa saya tolak kerana tiada tempat untuk membawanya. Rakyat Turki amat peramah dan baik hati," katanya.

Beliau berkata, penduduk Turki amat menghargai mereka yang pernah berjasa untuk negara berkenaan dan ini terbukti apabila terdapatnya patung bapa revolusi Turki, Mustafa Kemal Ataturk di hampir semua bandar atau daerah.

INFO

  • Berkayuh hampir dua minggu untuk sampai ke Istanbul iaitu bandaraya dua benua Asia-Eropah yang dipisahkan oleh Selat Bosphoros.
  • Lawatan tidak akan lengkap jika pelancong tidak singgah di Besiktas.
  • Besiktas menyimpan sejarah tamadun Islam era Uthamaniyyah.
  • Berkayuh di bawah terik matahari, berhujan, di bawah suhu sejuk sehingga 10 darjah Celsius, antara cabaran dihadapi Hasan untuk sampai ke Istanbul.[]Sumber:bharian  

 

Editor: THAYEB LOH ANGEN


portalsatu.com © 2017 All Rights Reserved.