YOGYAKARTA – Malaysia, Indonesia dan Filipina hari ini mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan perairan Laut China Selatan.
Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, berkata perkara itu dipersetujui dalam musyawarah antara para menteri Luar Negeri dari Malaysia, Indonesia, dan Filipina di Gedung Agung Jogjakarta, Kamis 5 Mei 2016.
Ketiga-tiga negara itu sepakat secara bersama untuk mengawal kapal dan saling membantu apabila ada yang minta bantuan dari negara anggota.
“Selain itu, Malaysia, Indonesia dan Filipina juga sepakat membentuk pusat kerjasama keamanan dan politiik apabila berlaku keadaan darurat,” katanya kepada wartawan setelah acara.
Menurutnya dalam acara tertutup selama sejam itu, ketiga-tiga negara turut membincangkan secara terperinci mengenai penculikan rakyat Indonesia dan Malaysia di perairan ketiga-tiga negara sejak kebelakangan ini.
“Dalam perjumpaan hari ini, kita mencari jalan sebaik mungkin untuk menangani masalah ini termasuk mengambil beberapa inisiatif penting. Pihak tentara ketiga-tiga negara akan berbincang secara langsung mengenai perkara ini,” katanya.
Anifah mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan beberapa pegawai kanan Kementerian Luar.
Indonesia diwakili oleh Menteri Luar Negeri Retno Marsudi dan Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Gatot Nurmantyo, Filipina diwakili Menteri Luar Jose Rene D Amendras, dan Pemangku Panglima Tentera negara itu Caesar C Taccad.
Anifah berkata melalui kerjasama yang disepakati itu, masalah penculikan di perairan ketiga-tiga negara dapat ditangani secara segera.
“Apa yang penting kita membincangkan bukan sahaja mengenai tindakan jangka pendek, tetapi juga perancangan jangka panjang supaya perkara (penculikan) ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga negara juga perlu mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kaedah-kaedah yang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan dan pegawai-pegawai kanan akan mengadakan pertemuan secepat mungkin bagi merangka satu Prosedur Operasi Standard (SOP).
Malaysia turut menawarkan pengalamannya menjaga keselamatan di Selat Melaka untuk dikongsi dengan pasukan keselamatan Filipina dan Indonesia bagi meningkatkan tahap keselamatan di perairan negara mereka.
Kawasan perairan yang bersempadanan dengan ketiga-tiga negara itu masih menjadi isu keselamatan kerana sering dicerobohi lanun dan pengganas.
Pada 1 April lepas, empat rakyat Malaysia yang bekerja dengan kapal tunda Massive 6 diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna.
Pada 26 Maret lalu, kapal tunda dari Indonesia, Brahman yang membawa arang batu dari kepulauan Borneo ke Filipina, dipercayai dirampas kumpulan bersenjata yang turut menculik kesemua 10 anak kapal warga Indonesia.[]Sumber:bernama.com


