KUALA LUMPUR – Golongan artis yang menerima darjah kebesaran dari Pahang bersedia membantu rakyat ditimpa musibah di negeri itu seperti diserukan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Di antara artis yang bersedia berbuat demikian ialah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Mereka dianugerahkan darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, semalam, dalam majlis istiadat sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar.

Menurut Siti, menjadi tanggungjawabnya untuk sama-sama menghulur bantuan kepada sesiapa saja yang memerlukan.

“Sebelum ini, Siti banyak melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Nur Jiwa. Siti biasanya akan membantu sedaya yang boleh dengan pertolongan suami, syarikat korporat dan peminat.

“Sebagai anak jati Pahang, Siti juga pernah membabitkan diri dengan projek amal di negeri kelahiran Siti, seperti membuat persembahan dan larian amal, selain menyumbangkan bantuan dalam bentuk wang Ringgit,” kata Siti kepada BH Online, Rabu, 25 Oktober 2017.

Sementara itu, Eizlan ketika dihubungi menyambut baik seruan Pemangku Raja Pahang itu sambil menegaskan, semua pihak sepatutnya membantu golongan kurang bernasib baik.

“Mereka yang ditimpa musibah harus mendapat pertolongan sewajarnya daripada mereka yang berkemampuan. Saya sendiri banyak terbabit dalam kerja amal, terutama dianjurkan di Pahang. Artis lain juga sama-sama menjayakannya.

“Kalau ada acara kebajikan yang memerlukan bantuan saya, Insya-Allah saya akan cuba tunaikan. Bantuan atau sumbangan ini boleh dilakukan dalam apa juga bentuk, bukannya dengan wang Rringgit semata-mata,” katanya sambil menyifatkan anugerah itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang besar.

Sebelumnya, ketika berucap pada majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Saga Ceria, Mentakab, Temerloh, pada tempat dan hari yang sama, Tengku Abdullah memberitahu seruannya itu bukan berniat untuk menyindir, tetapi satu kenyataan kerana masih ramai rakyat di negeri tersebut memerlukan bantuan, terutama yang dilanda musibah.

Katanya, mereka yang berkemampauan perlu membantu mengurangkan beban korban dan kembali berbakti kepada negeri ini selepas menerima darjah kebesaran.

Pada kejadian Senin lalu, 166 rumah musnah dilanda angin topan yang menyebabkan kerugian sekira lebih RM186,000.[]Sumber:bharian