KUALA LUMPUR – Pendakwah antarbangsa, Dr Zakir Naik, berkata tindakan kelompok yang mengatasnamakan agama tidak harus dikaitkan dengan Islam.

Zakir Naik mengatakan, dalam pedomannya Islam tidak menganjurkan penganutnya untuk kekerasan.

“ISIS, apa sebenarnya nama penuh ISIS? Islamic State of Iraq and Syria. Adakah mereka Islam? Jadi kenapa kita berulang kali menyebutnya sebagai Islamic State of Iraq and Syria.

''Kita patut namakan mereka Anti-Negara Islam Iraq dan Syria,” katanya dalam ceramah umum di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan, Malaysia, Rabu 20 April 2016.

Turut hadir ialah Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.

Menjawab pertanyaan hadirin, Zakir Naik berkata, Islam ialah agama yang menggalakkan keamanan seperti yang disebut dalam Alquran bahawasanya Islam melarang pembunuhan manusia yang tidak berdosa.

“Tak mungkin umat Islam membunuh mereka yang tidak berdosa. Apa yang kita patut katakan ialah anti-ISIS yang kini dikenali sebagai kumpulan militan Daesh,” katanya.[]Sumber:bernama.com