KUALA LUMPUR – Aktor senior Malaysia, Abu Bakar Omar, meninggal dunia pada pukul 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar, 16 April 2021, selepas mengalami masalah jantung.

Almarhum tutup usia pada 72 tahun.
Menurut anaknya, Mohd Zainuddin Abu Bakar, 46 tahun, bapanya dibawa ke KMC selepas waktu berbuka puasa semalam, berikutan keadaannya jelas keletihan dan lemah sejak dua hari lepas.

“Arwah sebelum ini tidak menghidap sebarang penyakit, tetapi dalam dua hari ini dia letih, jadi ahli keluarga bawa dia ke hospital.

“Masa itu, walaupun kelihatan letih dia masih boleh bersembang seperti biasa,” katanya, sebagaimana disiarkan media Bernama.

Katanya, pemeriksaan doktor mendapati jantung bapanya itu bengkak dan arwah kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dimaklumkan keadaannya bertambah kritikal pada lewat malam.

Mohd Zainuddin berkata, jenazah dimandi dan dikafankan di rumahnya di Jalan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang.

Salat jenazah didirikan di Masjid Al Ghufran, Alor Setar, disusuli pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Alor Setar selepas solat Asar.

“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya, ditempatkan bersama para solihin.

“Bagi pihak keluarga, kami memohon maaf atas segala salah silap almarhum ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini,” katanya dalam satu status yang dimuat naik di Facebook.

Abu Bakar terkenal dengan lakonan drama dan filem sejak tahun 1980-an.
Antara drama dan filem lakonannya ialah Opah, Cinta Kolestrol, Hingga Hujung Nyawa, Duyung Pak Keoi, Anak Jantan Pak Dee dan Mana Mau Lari.

Allahyarham juga pernah membintangi filem Leftenan Adnan, bersama pelakon, Hairie Othman.

Abu Bakar pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Sri Angkasa 1983 – Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) pada 1983, Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio) (1990), dan Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin pada 2012.

Di antara yang pertam kali mengumumkan berita duka itu dialah rekan artis Fauziah Ahmad Daud.[]sumber:astroawani.com