KUALA LUMPUR – Halal Innovation Ventures Exchange (HiVE) membentuk dan membantu usahawan muda untuk memasarkan produk serta perkhidmatan mereka ke dalam pasaran halal antarabangsa.
Pengasas Hive Collective, Don Nazwim Don Najib berkata, HiVE merupakan puncak daripada kerjasama di antara Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (KLMCC) dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan ditangani The Hive Collective, anggota KLMCC.
“HiVE adalah program yang menarik, ia menawarkan modul pada pasaran, pembangunan kapasitas, penembusan pasaran dan pemadanan perniagaan. Kami memanfaatkan rangkaian perniagaan yang sedia ada, dalam dan luar negara, dengan kerjasama Pemuda UMNO,” katanya.
Ia mengatakan, HiVE mempunyai rangkaian dengan rakan perniagaan di Hong Kong, Jepun, China dan Balkan.
“Kami berusaha untuk memahami pasaran dan memadankannya dengan idea-idea perniagaan yang diberikan kepada kami,” katanya kepada Bernama pada pelancaran HiVE di sini sempena Persidangan Halal Dunia (WHC) 2016
(Negara-negara Balkan terdiri daripada Greece, Albania, Macedonia, Bulgaria, Romania, Serbia and Montenegro serta Bosnia Herzegovina.)
Dianjurkan oleh Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno dengan kerjasama KLMCC, program sulung HiVE telah dilancarkan oleh Ketua Pemuda Umno yang juga, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Menurut Don Nazwim, pada masa ini, usahawan muda tidak mempunyai platform untuk melontarkan ide, perkhidmatan atau memasarkan produk mereka dalam industri halal.
HiVE akan membantu peserta melalui tiga komponen, iaitu Platform Dalam Talian HiVE, HIP (HiVE Innovative Pitching) dan Huddle, satu acara istimewa yang membolehkan anggota HiVE berkumpul bagi mengembangkan minda serta rangkaian mereka.
“Kami juga akan bertindak sebagai penampung yang akan mengumpulkan dan berkongsi ide-ide mereka dengan Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) serta rakan kongsi dari luar seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Hong Kong, Persatuan Perniagaan Malaysia-Bosnia dan organisasi perdagangan yang lain,” katanya.
Sementara itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani selepas pertemuan tersebut, di antara The Hive Collective dengan Pemuda Umno dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri halal.
MoU itu ditandatangani oleh Don Nazwim bagi pihak KLMCC manakala Pemuda Umno diwakili oleh Timbalan Ketuanya, Khairul Azuan Harun. Ia disaksikan oleh Khairy.
Khairul Azuan berkata MoU itu akan menentukan rentak untuk program HiVE yang akan membentuk kerjasama dengan KLMCC serta badan-badan pensijilan Halal di luar negara.
“HiVE diasaskan bagi membantu usahawan muda memperkenalkan dan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran halal global, termasuk Jepun, Hong Kong, Itali, Balkan serta Timur Tengah,” katanya.[]Sumber:bernama.com

